KUALA LUMPUR – Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu, berkuatkuasa 2 Oktober depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, hasil kombinasi pengalaman pentadbiran di peringkat universiti awam dan agensi persekutuan, Ahmad Farhan diyakini dapat meletakkan UPM berada di atas landasan sebagai universiti penyelidikan yang memfokus kepada pertanian.

“Beliau juga dilihat berkeupayaan untuk memacu UPM ke satu tanda aras baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi khususnya bagi merealisasikan agenda sekuriti makanan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Farhan menggantikan Datuk Prof. Dr. Roslan Sulaiman yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UPM pada 31 Ogos lalu.

Ahmad Farhan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari The Catholic University of America, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengangkutan dari Imperial College London, UK.

Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengajian Pengangkutan di University College London, UK.

Ahmad Farhan memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2004 dan pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM untuk tempoh tiga tahun bermula dari 2017 hingga 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dari tahun 2008 hingga 2011. – MalaysiaGazette