KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga lagi peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di ibu negara pada 16 September lalu yang masih lagi gagal untuk tampil untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya akan mengeluarkan nama individu berkenaan kepada umum untuk memudahkan pencarian sekiranya mereka masih gagal berbuat demikian.
“Keseluruhannya kita telah mengenal pasti seramai 28 individu yang menyertai perhimpunan itu dan daripada jumlah itu seramai 16 individu telah hadir dan selesai diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan terhadap perhimpunan berkenaan.
“Manakala bakinya akan dirakam keterangan dalam masa terdekat lagi.
“Tapi kita ada tiga orang lagi yang tidak dapat dikesan oleh polis sampai sekarang. Jadi kita akan berusaha untuk mengesan tiga orang lagi individu itu (merakam percakapan).
“Kita sebenarnya berharap mereka (tiga individu) datang segera memberi kerjasama. Tapi sebenarnya tiga orang ini tak dapat dikesan. Kalau masih tak datang juga kita akan keluarkan nama-nama mereka untuk membantu pihak polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur pagi ini.
Dalam pada itu, polis yakin kertas siasatan akan dapat dilengkapkan untuk diangkat kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan lanjut.
“Sejurus kita melengkapkan kertas siasatan kes ini, kita akan rujuk pihak pendakwa raya untuk keputusan.Kita yakin melengkapkannya pada minggu ini,” katanya lagi.
Pada 16 September lalu, kira-kira 800 peserta telah menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru yang kemudian berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman.
Bercakap kemudian dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Allaudeen mengesahkan himpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Beliau juga memberitahu kesemua individu yang dikenalpasti dalam Himpunan itu akan dipanggil untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette
















