Masjid Al-Aqsa
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan pelampau Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa pada Ahad lalu.

Wisma Putra berkata, serangan terhadap jemaah di masjid itu adalah provokasi yang disengajakan dan pencabulan secara terang-terangan terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa.

Katanya, ia jelas bertujuan mencabar status Jerusalem dan Al-Haram Al-Sharif dari segi sejarah dan perundangan.

“Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab kerana berterusan melakukan pencerobohan terhadap kemanusiaan dan secara terang-terangan tidak mengendahkan banyak prinsip undang-undang antarabangsa.

“Semua tindakan provokasi dan keganasan mesti dihentikan serta-merta demi keamanan dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serangan yang mendapat ‘restu’ polis Israel itu berlaku di Bab as-Silsila yang merupakan salah satu pintu masuk utama ke dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.

Pihak berkuasa Israel turut mengusir jemaah dari masjid suci itu dan menghalang mana-mana rakyat Palestin yang berusia di bawah 50 tahun memasukinya bagi memberi ruang kepada puak pelampau meraikan Rosh Hashanah iaitu Tahun Baharu Yahudi.

Wisma Putera menegaskan, layanan berat sebelah tidak sepatutnya berlaku dalam usaha menangani konflik.

Pada masa yang sama, Wisma Putera menambah, Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa agar membuka mata terhadap tindakan rejim Israel yang jelas mengamalkan dasar aparteid.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan serangan berterusan dan dasar aparteid oleh Israel terhadap hak asasi, kehidupan, penghidupan dan maruah rakyat Palestin yang menganut pelbagai agama di tanah mereka sendiri,” jelasnya.

Wisma Putera berkata, Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak hidup di negara sendiri yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan sebelum 1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya. – MalaysiaGazette