KUANTAN – Satu lagi kejayaan dilakar Pasukan TOP Team (Pemerolehan Tisu dan Organ), Jabatan Oftalmologi dan Jabatan Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) melibatkan pembedahan pemerolehan tisu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP),  Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pembedahan tersebut dilakukan pada 19 September lalu.

Ia melibatkan dua pasukan iaitu tujuh orang kakitangan daripada Jabatan Oftalmologi yang diketuai Pakar Oftalmologi, Dr Goh Ee Peng dan 15 kakitangan Jabatan Ortopedik diketuai pakarnya, Dr Han Chung Sing.

“Penderma tisu merupakan seorang wanita berbangsa India yang berumur 30 tahun. Proses pembedahan telah dijalankan oleh pasukan pembedahan pada jam 5 petang dan selesai pada jam 8.30 malam.

“Pasukan pembedahan berjaya mendapatkan tisu komea dan tulang daripada penderma tisu tersebut,” katanya.

Kali terakhir pembedahan pemerolehan tisu dilakukan di HOSHAS pada Mac 2021.

Menurut Dr. Nor Azimi, tisu komea yang diperolehi telah dihantar ke bank mata di Hospital Sungai Buloh manakala tulang penderma berada di Jabatan Forensik bagi menunggu keputusan darah pesakit sebelum diambil oleh HUSM.

JKNP mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma dan keluarga kerana telah dapat memberi sinar yang baharu kepada pesakit yang memerlukan. – MalaysiaGazette