Program sambutan Hari Malaysia anjuran penduduk perumahan Rafflesia S1, Taman Pelangi, Semenyih meriah dengan kerjasama agensi kerajaan.

SEMENYIH – Kira-kira 500 penduduk termasuk kanak-kanak kawasan perumahan Rafflesia S1, Taman Pelangi di sini memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Rafflesia S1, Mohd Faizazli Mohd Anuar berkata, kehadiran penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan melambangkan kekuatan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia masih utuh.

Mohd Faizazli.

Jelas beliau, kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menjayakan pelbagai aktiviti juga dilihat sebagai satu wadah utama bagi menyatukan masyarakat supaya sentiasa berfikiran positif.

Pelbagai aktiviti dianjurkan buat kanak-kanak.

“Sambutan itu meriah apabila kita berjaya mengimbau nostalgia zaman kecil dengan pelbagai permainan tradisional. Kita juga menganjurkan aktiviti untuk kanak-kanak seperti melukis,mewarna serta pakaian beragam.

“Kita juga berterima kasih kepada pihak Bomba, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut sama menjaya program komuniti sebegini,” katanya.

Pelbagai permainan tradisional turut dianjurkan bagi mengimbau nostalgia.

Tambah beliau, pihaknya percaya program komuniti seperti ini dapat memupukkan lagi semangat masyarakat dalam mencintai negara dan mengharapkan ia menjadi acara tahunan penduduk.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zairul Azli Ramli berkata, program sebegini sesuatu yang positif apabila orang ramai dapat diberikan  kesedaran mengenai kepentingan dan pengetahuan berkaitan pencegahan kebakaran terutama yang berlaku di rumah.

Zairul Azli menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang menyertai program tersebut.

“Secara keseluruhannya, objektif program ini menunjukkan kejayaan dan kami merancang mahu menganjurkan majlis serupa pada masa akan datang dengan lebih banyak aktiviti bagi manfaat orang ramai,” katanya.

Bagi wakil penduduk, L. Francisxavier pula, beliau berharap porgram sebegini dilakukan komuniti setiap perumahan bagi menghidupkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Francisxavier.

“Aktiviti seperti ini bukan saja mampu mengeratkan semangat kejiranan malah kanak-kanak juga boleh mengenali kebudayaan kepelbagaian kaum dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette