Anggota polis menjaga keselamatan orang ramai yang menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di hadapan Sogo, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lagi peserta Himpunan Aman Selamat Malaysia yang gagal dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat ini seramai 29 orang telah dikenal pasti dan dijalankan siasatan dam mereka telah memberi kerjasama yang baik.

“Semalam polis kehendaki tiga orang yang gagal dikesan dalam kes ini tetapi salah seorangnya sudah hadir dan proses merakam keterangan diselesaikan,” katanya selepas Ops Patuh Peraturan Jalanraya di Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Menurut Allaudeen, pihaknya akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengesan dua individu tersebut.

Tambah beliau, perhimpunan yang diadakan pada Sabtu lalu itu tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Sementara itu, Allaudeen menyifatkan 36,432 saman yang dikeluarkan dalam Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya dalam tempoh seminggu bermula 15 September lalu menunjukkan perlanggaran undang-undang dilakukan warga kota sewenang-wenangnya.

Katanya, jumlah saman adalah besar dan masih terdapat ruang untuk mempertingkatkan kepatuhan kepada peraturan lalu lintas di ibu negara.

Tambah beliau, sebanyak 126 operasi telak dilaksanakan pada operasi yang memasuki hari ketujuh dengan 59 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan jenayah.

Jelasnya, sebanyak 29 kenderaan yang terdiri daripada 27 motosikal dan dua lori disita kerana ketiadaan cukai jalan dan lesen memandu.

Menurut Allaudeen, polis tidak akan menawarkan diskaun untuk saman yang dikeluarkan dalam Op Hormat Undang-undang itu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast