Fuziah Salleh
Tangkap layar video yang mencetuskan reaksi kurang senang netizen terhadap Fuziah Salleh. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Tindakan pegawai khas kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh membuat laporan berhubung kecaman terhadap satu rakaman video yang tular dianggap menyusahkan polis.

Ahli akademik, Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata, anggota polis yang sepatutnya bertugas menjaga keselamatan negara kini terpaksa membuat kerja remeh-temeh untuk menyiasat kesalahan yang mungkin tidak wujud.

Menurut beliau, Fuziah sepatutnya insaf bahawa polis ada banyak lagi tugasan lain dan mereka tidak sepatutnya dilibatkan dalam mengurus emosi pemimpin politik yang ‘koyak’ kerana umpat keji netizen.

“Buat laporan polis? Siapa yang lakukan jenayah dan kepada siapa? YB ini sakiti hati rakyat.

“Jadi, rakyat bangkit meluahkan kesakitan mereka. Bukankah ini satu perkara normal dalam negara demokrasi?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ramzah Dambul
Ramzah Dambul. – Gambar: Facebook

Ramzah mengulas laporan polis yang dibuat Aidil Haryman Mat Nor di Kuantan semalam berhubung rakaman video yang disiarkan semula memaparkan Fuziah ‘membeli barangan keperluan harian’.

Dalam video yang dipercayai mulai dimuat naik Julai lalu, kelihatan Fuziah membeli barangan seperti seperti minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin dan bawang di sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah dengan harga RM136.30 bagi membuktikan wang sebanyak RM200 mencukupi untuk berbelanja.

Kenyataan Fuziah dalam rakaman video tersebut mengundang reaksi kesal daripada netizen memandangkan rakyat sedang berdepan isu kenaikan mendadak kos sara hidup serta kekurangan bekalan beras putih tempatan ketika ini.

Sehubungan itu, Ramzah menasihatkan Fuziah agar fokus kepada strategi kawalan harga dan bukannya menjolok sarang tebuan dengan ‘mengejek kesusahan rakyat’.

Pada masa yang sama, beliau menempelak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang dikatakan lebih suka mencipta alasan dan bukannya mencari penyelesaian.

“Ketika rakyat terhimpit dengan isu kenaikan harga barang, YB seorang ini pula gigih mempersoalkan tentang ketagihan makan luar,” jelasnya.

Ramzah mengingatkan Rafizi bahawa tugasnya adalah untuk menyelesaikan isu ekonomi dengan strategi ekonomi.

“Bukan berkhutbah tentang amalan dan perangai rakyat. Itu tugas pakar motivasi dan psikologi,” katanya. – MalaysiaGazette