Datuk Asmawar Samat

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyalahkan kerajaan seperti melepaskan batok di tangga dalam usahanya menangani isu kos sara hidup rakyat yang berdepan dengan kekurangan bekalan barang keperluan.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat, walaupun kerajaan mengeluarkan pelbagai kenyataan bagi menjawab isu berkenaan, ia sedikit pun tidak melegakan keresahan rakyat.

Malah, katanya, peningkatan kos sara hidup dan kekurangan bekalan makanan utama seperti telur dan beras serta barang keperluan lain masih berterusan.

“Kerajaan pula menangani isu yang mencengkam kehidupan rakyat ini seperti melepas batok di tangga.

“Banyak pihak termasuk Putra membangkitkan isu ini, tetapi tiada tindakan berkesan yang melegakan rakyat diambil.

“Ada program Jualan Rahmah pun rakyat terpaksa beratur panjang untuk beli beras tempatan, tetapi cara mengatasi keseluruhan masalah ini agar pulih seperti sedia kala tidak ada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asmawar berkata, ini menunjukkan kerajaan tidak betul-betul peka dengan permasalahan dan keluhan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan sibuk dengan pengumuman program besar untuk masa depan kononnya seperti pelabur akan datang melabur, tapi belum tahu bila.

Katanya, sidang Parlimen pada 19 September lalu yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu langusng tidak memberi penjelasan dan keyakinan serius terhadap permasalahan itu.

“Anwar cuma beri jaminan harga beras tempatan tidak akan dinaikkan dan minta Mat Sabu serta menteri lain turun padang memantau keadaan.

“Ini menunjukkan entiti dalam kerajaan ketandusan idea dan usaha akibat tidak ada pengalaman, tidak fokus, malah lebih berpolitik,” katanya.

Kata beliau lagi, bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harganya tidak meningkat, keluaran bahan makanan wajib dipertingkatkan.

Jelasnya, peningkatan bahan makanan hasil tani dalam negeri adalah lebih baik dari mengimport harga tinggi, tetapi dijual dengan harga subsidi kononnya untuk golongan sasar seperti B40, M40, dan yang berpendapatan rendah lainnya.

“Dengan kata lain, subsidi dan mengapongkan subsidi hanya akan menimbulkan permasalan lain seperti barangan disorok, dimanipulasi dan sukar diperolehi di pasaran seperti dialami sekarang.

“Dalam hal ini, ada baiknya jika kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi disalurkan sebagai geran kepada anak muda serta penganggur berijazah berumur 18 hingga 40 tahun untuk bertani dan membuat perusahaan tani secara berkelompok.

“Banyak negeri di Semenanjung dan Malaysia Timur seperti Sabah dan Sarawak masih mempunyai tanah luas terbiar yang subur untuk pertanian,” ujar beliau.

Sebagai insentif, kata Asmawar, wajar diperuntukkan geran RM50,000 hingga RM150,000 untuk pasukan berkelompok antara 20 hingga 30 orang dan tanah TOL iaitu hakmilik sementara seluas satu hingga 30 ekar untuk tempoh tiga hingga 20 tahun.

Ini bagi tujuan tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan udang air tawar atau masin, ternakan ayam telur, itik telur, kambing, lembu dan lain-lain perusahaan tani yang boleh cepat mengeluarkan hasil.

“Mengambil contoh dan pengalaman pada zaman ekonomi gawat tahun 1997 hingga 2002, masalah kekurangan bekalan bahan makanan serta harga yang tinggi dapat ditangani oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negeri-Negeri dalam tempoh masa singkat berikutan hasil bahan makanan yang banyak dan murah di pasaran.

“Dengan kata lain, jika ada kesungguhan untuk meningkatkan keberhasilan hasil makanan dalam negeri, akan adalah keterjaminan tanpa membayar lebih makanan import.

“Sesungguhnya, mengurangkan import bermakna akan mengurangkan bebanan kos sara hidup,” katanya.

Namun, katanya, teguran dan cadangan Putra ini mungkin tidak akan ke mana kerana sikap tidak peka pihak yang menerajui kerajaan. – MalaysiaGazette