Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran dan Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran bergambar bersama setelah selesai mempengerusikan mesyuarat khas antara MIC dan Makkal Sakti di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 22 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Satu sekretariat bakal ditubuh dan dianggotai parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC dengan Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) bagi mewujudkan kerjasama politik.

Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, penubuhan sekretariat antara dua parti India dalam masa terdekat itu untuk mengembalikan kegemilangan BN sebelum kejatuhannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita harus bekerja dengan strategi baharu bukan sahaja menangani masalah kaum India bahkan kita ada strategi untuk memastikan pilihan raya akan datang kita boleh memenangi kerusi, itu paling mustahak dalam arena politik.

“Kita telah berbincang sedalam-dalamnya dan berpendapat bahawa satu sekretariat harus ditubuhkan. Ia bagi memastikan kedua-dua parti ini dapat bekerjasama dari akar umbi, bahagian, negeri dan pusat,” katanya pada sidang media khas di Menara Dato’ Onn malam ini.

Terdahulu Vigneswaran bersama Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Makkal Sakti.

Selain itu, Vigneswaran berkata, kerjasama dua parti politik India itu bagi memenuhi tuntutan semasa apatah lagi corak politik pada masa ini semakin berubah-ubah.

“Kita telah bersetuju bekerjasama dalam menangani isu-isu kaum India dan memastikan kita boleh bekerjasama di peringkat akar umbi dan boleh menguatkan lagi BN peringkat akar umbi,” katanya.

Katanya lagi, sebelum sekretariat itu ditubuhkan, beliau ingin menjelaskan tiada perselisihan faham yang wujud antara MIC dan Makkal Sakti sebelum ini.

“Kita berharap di peringkat akar umbi ini semua akan terima keputusan kedua-dua jawatankuasa pusat untuk bekerjasama demi kepentingan negara dan khususnya kaum India,” katanya lagi. – MalaysiaGazette