PERMATANG PAUH – Lima buah kelas di tingkat tiga sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian pukul 6 petang itu.
Difahamkan sekolah tersebut mempunyai dua sesi persekolahan iaitu pagi serta petang dan ketika kejadian sesi persekolahan sudah tamat.
Pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, PBK II Abd Manap Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.02 petang sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan lima buah kelas yang setiap satu berkeluasan kira-kira 70 meter persegi. Tiga buah kelas musnah 100 peratus dan dua buah kelas terbakar kira-kira 40 peratus sebelum api berjaya dikawal pukul 6.31 petang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan sesi pembelajaran di sekolah itu akan diteruskan.
“Kita beri jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak akan terus belajar dalam keadaan apa sekali pun, cuma mekanismenya kita akan pastikan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau kelas ganti.
“Kita juga akan berbincang dengan pihak sekolah berhubung penilaian keseluruhan kerosakan yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pihaknya dapat memberikan bantuan bencana.
“Buat masa ini, tindakan untuk memastikan keselamatan keseluruhan termasuklah pendawaian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekolah tersebut di sini malam ini. – MalaysiaGazette