LONDON – Bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea sedia untuk menggantung but sekiranya masih gagal mendapatkan kelab baru, lapor The Guardian.
De Gea hanya mahu mencari kelab yang memilihnya sebagai penjaga gol utama dan bukan sebagai penjaga gol sokongan, lapor The Guardian.
Ini keran penjaga gol Sepanyol itu lebih berminat menyertai kelab yang memburu trofi utama di Eropah dan tidak melihat duit sebagai pendorong utama.
De Gea sebelum ini menolak beberapa tawaran lumayan dari luar negara termasuk Arab Saudi biarpun Cristiano Ronaldo cuba memujuknya untuk mengubah pendirian namun tetap bertegas dengan keputusannya.
Sebelum ini, penjaga gol berusia 32 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Real Madird susulan kecederaan serius yang menimpa penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Bagaimanapun, disebabkan kekangan kewangan, kelab yang dibimbing Carlo Ancelotti itu kemudiannya membawa masuk Kepa Arrizabalaga secara pinjaman dari Chelsea.
De Gea membuat 545 penampilan sepanjang 12 tahun di Old Trafford yang menjadikan dia penjaga gol paling banyak membuat penampilan dalam sejarah United.
Sepanjang 12 tahun tersebut, dia telah memenangi EPL, Liga Europa, Piala FA dan Piala EFL serta pernah memenangi anugerah Sarung Tangan Emas EPL sebanyak dua kali.
De Gea meninggalkan The Red Devils pada 1 Julai selepas tawaran kontrak yang dibuat sebelum ini ditarik balik. – Agensi