PUCHONG – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (MTLOA) mahu kajian mendalam dilakukan bagi menangani kes kemalangan maut melibatkan lori muatan berat seperti yang berlaku di Putrajaya baru-baru.
Pengerusinya, Michael Loo Leep Chye berkata, pihaknya yakin kes kemalangan sedemikian boleh dikurangkan jika Kementerian Pengangkutan serius mencari jalan penyelesaian.
Ia termasuklah memuktamadkan garis panduan baharu prosedur operasi standard (SOP) ke atas kenderaan berat itu.
“Sebenarnya kemalangan melibatkan lori ini boleh dikurangkan jika kementerian sanggup meluangkan masa mendengar dan berjumpa dengan pihak persatuan untuk merumuskan satu SOP baharu bagi pengusaha lori.
“Kami menuntut satu SOP jelas dan terperinci, apabila kita ditahan pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), kepincangan dan ketirisan dapat dibendung.
“Akibat ketiadaan SOP jelas itu, setiap lori menjalani ujian penimbang oleh penguat kuasa JPJ didapati terlebih muatan dan masalah lori terlebih muatan ini tidak pernah menemui titik noktah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat persatuan itu di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kejadian Rabu lalu di mana sebuah treler muatan batu pasir hilang kawalan lalu melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, berhampiran susur keluar Persiaran Timur, Putrajaya.
Kemalangan melibatkan 14 kenderaan termasuk sebuah motosikal polis trafik itu, menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu treler berusia 29 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya, Isnin ini. – MalaysiaGazette