PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan empat bot dan 43 nelayan termasuk tekong warga Vietnam, kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara, menerusi operasi yang dijalankan Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharun berkata, kesemua tangkapan dilakukan KD Amanah, yang sedang melaksanakan rondaan dalam Op Damai, Op Khas Kuda Laut, Op Naga Barat dan Op Tiris, pada kedudukan 125 hingga 150 batu nautika dari muara Tok Bali.

Beliau berkata, bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8.18 pagi dan 9.01 pagi, manakala dua buah bot lagi ditahan ketika kapal penguat kuasa dalam perjalanan mengiringi tangkapan pertama dan kedua ke jeti tahanan, sekitar pukul 2.32 petang dan 2.50 petang.

“Dalam kejadian ini, kesemua bot yang dinaiki nelayan terbabit cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara, ketika kapal penguat kuasa memberi arahan untuk menghentikan bot.

“Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot untuk menghentikan bot berkenaan dan mendapati kesemua nelayan yang ditahan merupakan warga Vietnam berusia antara 16 hingga 61 tahun,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali, di sini hari ini.

Khairun Dalilah, berkata hasil pemeriksaan pada kesemua bot tunda tersebut menemukan 6,000 kilogram hasil tangkapan yang disyaki hasil kegiatan perikanan secara haram dan selain merampas empat buah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, serta bekalan diesel dengan anggaran nilai RM3.86 juta.

“Kesemua nelayan terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963, kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala empat tekong akan disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Khairun Dalilah berkata, untuk rekod tahun ini sebanyak 17 buah bot nelayan Vietnam bersama 137 tekong dan nelayan telah ditahan APMM Kelantan, dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM18.56 juta. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast