Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd NaÕim Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Penutupan Ihtifal Iimi Sekolah Menegah Agama Malaysia (MIISMAM) Kali ke- 9 Tahun 2023 di Sekolah Agama Majlis Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarah menyemak semula kriteria kelayakan penerima zakat khususnya asnaf fisabilillah sebelum memberikan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, walaupun ketika ini kriteria penerima zakat fisabilillah tidak mengambil kira pendapatan ibu bapa, namun ia perlu diperhalusi semula.

“Saya mengesyorkan dan meminta MAIWP membuat semakan semula berkaitan dengan garis panduan penerimaan bantuan biasiswa, sebab garis panduan sedia ada mengambil kira had kifayah terpakai bagi penentuan asnaf fakir dan miskin.

“Berkaitan dengan garis panduan melibatkan asnaf fisabilillah, saya mencadangkan supaya ia dilihat secara komprehensif.

“Kita tak tengok kepada pendapatan bulanan ibu dan bapa, kita boleh tengok aset dia ada dan secara keseluruhan nilai diri ibu bapa itu, itu yang boleh diambil kira,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd NaÕim Mokhtar menyampaikan trofi kepada penerima anugerah kesuluruhan kepada Pengarah Jabatan Agamai Islam Kedah, Datuk Abd Ghani Zainuddin (dua kanan) pada Majlis Penutupan Ihtifal Iimi Sekolah Menegah Agama Malaysia (MIISMAM) Kali ke- 9 Tahun 2023 di Sekolah Agama Majlis Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu beliau merasmikan penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-9 Tahun 2023 di Kompleks Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakti dikecam netizen kerana anaknya yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia menerima biasiswa pendidikan MAIWP.

Biasiswa yang ditaja MAIWP difahamkan untuk menampung kos perbelanjaan anaknya, Abdul Syakur ke Universiti Jordan.

Pertikaian itu berlaku apabila ada pemilik akaun media sosial yang mempersoalkan biasiswa penuh yang diperolehi anak bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu daripada pembayar zakat.

Bagaimanapun Zulkifli mempertahankan biasiswa yang diterima anak lelakinya itu kerana berada di dalam kategori asnaf fisabilillah dan biasiswa zakat itu tidak menganggu kuota asnaf fakir dan miskin.

Tambah Mohd Naim, beliau juga mengarahkan MAIWP melihat semula kriteria penerima zakat fisabilillah dalam kalangan asnaf fakir dan miskin yang mempunyai nilai jati diri yang berpotensi untuk diketengahkan.

“MAIWP juga boleh melihat dari sudut bukan sahaja kejayaan akademik sahaja, kemungkinan anak-anak asnaf tidak bertarung atas padang sama rata, mereka mungkin tiada kemudahan untuk mendapat 3A atau 4A.

“Tetapi mereka ini ada sahsiah diri begitu tinggi, akhlak baik, motivasi tinggi, cuma dia tak ada kemudahan sama seperti orang-orang berada.

“Saya minta untuk lebih adil supaya MAIWP nanti boleh melihat potensi anak-anak asnaf yang tak capai kecemerlangan akademik, mungkin dia dapat 7A, 8A, tapi dia ada kriteria baik,” katanya.

Selain itu, MAIWP juga perlu mengambil kira nilai kemahiran yang dimilik anak-anak asnaf fakir dan miskin yang diperlukan negara untuk membangunkan ekonomi.

“Sebab falsafah di MAIWP ialah kita nak bagi kail, bukan nak bagi ikan, kita nak keluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Mereka tiada kemampuan, tidak cemerlang tapi dia mempunyai bakat dan kemahiran tertentu yang boleh kita angkat untuk bangunkan ekonomi negara.

“Saya harap MAIWP boleh tambah baik dilihat dan disemak semula supaya pada pandangan saya pemilihan yang lebih adil akan dapat ditentukan,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Geng2 agama ni bab duit, sama jaaa dgn org lain. Jika ada peluang nak sakau, rembat jaa. Gunakan pengaruh bapak sbg bekas mufti dan menteri agama utk dapatkan kelebihan. Padahal kita bayar zakat utk bantu org Islam yg susah. Susah sangatkah bekas Menteri dan Mufti? Kat Malaysia ni semua org dah kaya raya kaa sampai tak ada fakir miskin yg layak? Ker semua anak org miskin bodoh2 tak mcm anak bekas Mufti?

Comments are closed.