Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia dengan belian sebanyak RM550.9 juta minggu lepas, iaitu 2.3x lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

Ia merupakan aliran masuk asing bersih tertinggi sejak lapan minggu lalu, kata MIDF Research.

Menurutnya, pelabur asing menjadi pembeli bersih setiap hari minggu lepas dengan belian lebih RM100 juta setiap hari kecuali pada hari Khamis apabila jumlah itu menjadi sederhana kepada RM48.7 juta selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah.

Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM197.0 juta), pengangkutan & logistik (RM110.1 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM72.8 juta).

Sementara itu, hanya tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing iaitu produk & perkhidmatanpperindustrian (-RM38.6 juta), penjagaan kesihatan (-RM37.5 juta) dan telekomunikasi & media (-RM8.4 juta).

Setakat ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih, berjumlah RM1.92 bilion.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan mengekalkan pendirian dengan melakukan jualan bersih minggu lepas pada -RM472.5 juta, yang tertinggi sejak setahun lalu pada minggu berakhir 19 Ogos 2022 apabila jualan bersih -RM675.9 juta.

Mereka telah menjadi penjual bersih setiap hari dalam seminggu, dengan rentetan jualan bersih selama lapan hari.

Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih berjumlah RM2.68 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu ke-11 berturut-turut selepas melupuskan -RM78.4 juta bersih minggu lepas.

Trend jualan bersih tidak kelihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka membeli RM22.3 juta pada hari Khamis tetapi menjadi penjual bersih untuk sepanjang minggu.

Setakat ini, peruncit telah menjual bersih -RM765.7 juta.

MIDF Research berkata, dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak -39.9% minggu lepas manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 16.0% dan 14.0%. – MalaysiaGazette