Bomba selamatkan kanak-kanak PASTI yang terperangkap dalam banjir kilat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

TELUK KUMBAR – Seramai 40 kanak-kanak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Darul Ulum di Jalan Kampung Masjid di sini, diselamatkan pihak bomba selepas terperangkap dalam banjir kilat hari ini.

Mereka terdiri 25 kanak-kanak lelaki dan 15 perempuan berusia empat hingga enam tahun dibawa keluar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik orang awam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Nasir Sameon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10 pagi sebelum bergegas ke lokasi bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

Nasir.

Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kawasan Pasti itu dinaiki air paras 0.65 meter (2 kaki).

“Kesemua mangsa berada dalam kelas ketika kita sampai di lokasi dan keadaan terkawal sebelum operasi menyelamat mangsa dilakukan.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke tempat selamat menaiki kereta pacuan empat roda milik orang awam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi hari ini.

Kesemua mangsa diselamatkan dengan menaiki pacuan empat roda milik orang awam.

Terdahulu, hujan lebat berterusan sejak jam 7 pagi hingga tengah hari tadi mengakibatkan banjir kilat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Sementara itu, guru Pasti, Halimatul Husna Mohammad Noor, 28, berkata, pihaknya meminta bantuan pihak bomba selepas mendapati air longkang berhampiran melimpah masuk ke kawasan tadika itu.

Halimatul Husna.

“Dalam tempoh masa singkat air naik hingga paras lutut susulan hujan masih lebat dan sementara menunggu kehadiran pihak bomba kita tenangkan pelajar yang berada dalam kelas.

“Ragam pelajar pelbagai apabila mereka lihat air, ada yang teruja nak main air banjir dan ada juga yang takut namun saya dan dua lagi guru berjaya mengawal keadaan sehingga semua kami diselamatkan,” katanya.

Keadaan pusta PASTI dinaiki air paras 0.65 meter.

Tambah Halimatul Husna, setiap kali hujan lebat tempat itu mesti dinaiki air dan sudah menjadi rutin bagi ahli jawatankuasa Pasti membersihkan kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast