Jadual penggunaan stadium Nasional Bukit Jalil dibincangkan dalam mesyuarat bersama FAM, PSM dan MFL hari ini. Foto Ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengadakan bermesyuarat penting bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perbincangan itu diadakan untuk menyusun jadual penggunaan stadium berkenaan pada baki tahun 2023 dan juga di sepanjang tahun 2024 nanti.

Dalam perbincangan itu, ia lebih menjurus kepada persediaan pihak PSM menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional bermula pada 13 hingga 17 Oktober tahun ini.

Selain itu, ia juga melibatkan perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz pada 16 November depan.

Jadual penggunaan stadium Nasional Bukit Jalil dibincangkan dalam mesyuarat bersama FAM, PSM dan MFL hari ini. Foto Ihsan FAM

Selain itu, katanya, bagi saingan liga domestik, Final Piala Malaysia 2023 dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 Disember ini.

Hamidin menyatakan rasa puas hati dengan persiapan venue oleh pihak PSM termasuk berkaitan dengan tempat duduk penonton serta padang dan berharap agar perlawanan-perlawanan tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.

Pada kesempatan sama juga, FAM, MFL dan PSM turut berbincang mengenai kalendar bola sepak tempatan dan antarabangsa bagi tahun 2024 yang mana Stadium Nasional akan turut digunakan pada baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di tempat sendiri pada Mac dan Jun 2024 selain aksi final-final pertandingan anjuran MFL pada musim depan.

FAM diwakili oleh Hamidin bersama-sama timbalannya, Datuk S. Sivasundaram; Naib Presiden, Mohd Firdaus Mohamed dan exco Asisten Komisioner (Bersara) Md Dali Wahid selaku pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan; setiausaha agung, Datuk Noor Azman Rahman serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan penolongnya, Pau Marti Vicente.

Sementara itu, MFL pula diwakili presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam.

Dalam pada itu, PSM pula diwakili oleh pengerusinya, Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Faidz Sanusi dan ahli lembaga pengarah, Zahir Kelvin Ong Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast