Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, hari ini menetapkan 28 November bagi pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah berkaitan saman syarikat Lubnan, Global Royalty Trading memberikan kos jaminan sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta).

Menurut Rajivan Nambiar yang mewakili isteri kepada bekas Perdana Menteri itu, mahkamah sivil juga telah menetapkan 26 Oktober ini untuk pengurusan kes permohonan Global Royalty bagi penghakiman ringkas terhadap Rosmah tanpa melalui perbicaraan dalam kes saman ini.

Pada 10 Ogos lalu, Rosmah memohon supaya Global Royalty memberikan jaminan kos sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah, dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Rosmah berkata, jaminan kos itu perlu diberikan kerana jika beliau berjaya dalam penyataan pembelaannya berhubung tindakan saman itu dan memperoleh kos terhadap syarikat terbabit, beliau akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.

Sebelum ini, Global Royalty menyaman Rosmah dengan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa.

Rosmah berkata, barangan itu dirampas untuk kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Global Royalty mendakwa, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Plaintif mendakwa defendan memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta, namun saman itu ditarik balik pada 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast