Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan kabel yang di curi pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan 12 lelaki warga tempatan dan seorang warga asing yang terlibat dalam mencuri dan membeli kabel Telekom Malaysia di padang kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 26 SEPTEMBER 2023.

PETALING JAYA – Polis berjaya menahan sembilan lagi suspek yang disyaki terbabit sindiket curi kabel telekomunikasi, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Menurutnya, kesemua suspek itu telah berjaya diberkas dalam beberapa siri serbuan yang dilaksanakan di sekitar Selangor pada 20 September lalu.

Kejayaan tangkapan kesemua suspek berusia lingkungan antara 20 sehingga 40-an itu menyusul ekoran penahanan empat anggota polis peronda yang diberkas sebelum ini selepas disyaki bersubahat dengan sindiket berkenaan.

“Polis telah menerima laporan daripada pihak Telekom Malaysia (TM) berhubung dua kabel bawah tanah hilang dicuri dalam kejadian pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan gambar 2 lelaki warga tempatan yang di kehendaki polis pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan 12 lelaki warga tempatan dan seorang warga asing yang terlibat dalam mencuri dan membeli kabel Telekom Malaysia di padang kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 26 SEPTEMBER 2023.

“Bertindak atas aduan itu polis membuka kertas siasatan dan pasukan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memulakan siasatan sebelum hasil risikan kami membawa kepada tangkapan empat anggota polis peronda (MPV) yang bertugas di bawah kontinjen IPD Petaling Jaya pukul 11.30 malam pada 19 September lalu,” katanya dalam pada sidang media hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas keempat-empat anggota berkenaan berjaya membawa kami kepada tangkapan lapan lelaki tempatan dan seorang warga asing dalam lima serbuan berasingan di premis besi buruk di Kampung Sungai Kandis, Klang dan Bukit Kemuning, Shah Alam; premis di Kawasan Perindustrian Shah Alam; rumah di Seksyen 8/1 Petaling Jaya serta Taman Seri Sentosa Jaya, Klang.

Tambah beliau, menerusi tangkapan sembilan suspek itu, pemeriksaan lanjut pasukan juga membawa kepada rampasan dua kenderaan MPV, kereta jenis BMW, Honda Civic, pacuan empat roda Ford Ranger, lori, sehelai jaket pantulan cahaya dan 11 telefon bimbit daripada mereka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan kenderaan yang disita pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan 12 lelaki warga tempatan dan seorang warga asing yang terlibat dalam mencuri dan membeli kabel Telekom Malaysia di padang kawad Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 26 SEPTEMBER 2023.

Selain itu, katanya, polis turut menemui gulungan wayar tembaga seberat 1.2 tan yang sudah dibakar anggaran bernilai RM100,000, besi penutup longkang dan buku hasil jual beli termasuk resit.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin memberitahu, siasatan lanjut mendedahkan sindiket berkenaan aktif terlibat dalam jenayah mencuri kabel di sekitar daerah ini sejak awal tahun ini.

Tegas beliau, empat anggota MPV yang ditahan bantu siasatan itu disyaki bersubahat bagi melancarkan aktiviti jenayah mereka dan polis tidak menolak kemungkinan mereka menerima sejumlah bayaran bagi setiap jenayah yang dilakukan sindiket berkenaan.

Pada masa yang sama, pihaknya sedang memburu dua lagi suspek lelaki ahli sindiket berkenaan yang masih bebas di luar sana bagi membantu siasatan kes.

“Semakan polis juga mendapati lapan suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka kini sedang direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaaan.

“Manakala empat anggota polis yang ditahan reman sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan selepas dirakam percakapan namun buat masa ini mereka sudah digantung kerja.

“Jika siasatan polis mendapati mereka terlibat sama dalam sindiket itu akan dituduh di mahkamah nanti.

“Polis dalam hal ini akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ditetapkan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan jenayah termasuk anggota polis tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaGazette memetik sumber melaporkan tentang penahanan empat anggota penguat kuasa bersama dua lagi suspek selepas disyaki bersubahat dengan sindiket mencuri kabel milik TM.

Penjawat awam itu dipercayai bertindak sebagai tonto yang akan ‘jaga line’ ketika ahli sindiket berkenaan membuat kerja.-MalaysiaGazette