Menurut Forest City, kadar kehadiran pengunjung lebih tinggi pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

GELANG PATAH – Sejak sempadan negara dibuka selepas pandemik Covid-19 – Forest City di sini tidak pernah sunyi dengan kunjungan pelancong termasuk dari luar negara.

Kunjungan pelancong itu dijangka akan kembali rancak pada tahun ini kerana Forest City turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan antara daya tarikannya adalah taman tema air.

Commercial Street dan Marina Beach juga sering menjadi tempat pilihan penganjur bukan sahaja untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti flea market atau car boot sale malah beberapa lokasi turut dijadikan pilihan pengguna media sosial mengabdikan gambar mereka.

Taman tema air dan padang golf bertaraf antarabangsa juga merupakan antara lokasi pilihan utama pengunjung ke Forest City.

Dianggarkan seramai 100,000 pengunjung mengunjunginya bulan lalu untuk melakukan pelbagai aktiviti yabg ditawarkan.

Selain itu, Forest City melalui kenyataan medianya berkata, ia turut menjadi pilihan beberapa produksi dari dalam dan luar negara antaranya menjalankan penggambaran filem, drama, program dan iklan.

Antara produksi yang pernah menjadikan Forest City sebagai tempat penggambaran mereka adalah Prosieben TV dari Jerman (Futuristic Cites All Over The World), KBSTV dari Korea Selatan (Battle Trip Programme), pengambaran Honda Malaysia untuk pelancaran kereta, produksi dokumentari sci-fi dari Austria (Hungry: Tipping The Scales) dan produksi filem tempatan.

Selain itu pelancongan hartanah masih menjadi salah satu strategi pemasaran yang penting buat Forest City dan usaha itu akan terus dipergiatkan.

“Forest City akan berkerjasama dengan pemain-pemain industri pelancongan untuk menyediakan pakej perlancongan hartanah di mana semasa waktu puncak sebelum berlakunya Covid-19, Forest City menerima kunjungan lebih 10 bas sehari daripada kumpulan pelancong selain pusat jualan juga sentiasa penuh dengan orang ramai,” kata kenyataan yang sama.

Projek Forest City dimulakan sejak tahun 2015 dan sepanjang tujuh tahun , sebanyak 26,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar.

“Pembangunan di pulau buatan pertama itu sedang giat dijalankan dengan separuh daripada 1,400 ekar iaitu kawasan seluas 700 ekar, yang juga bersamaan 15 peratus luas keseluruhan projek Forest City telah dibangunkan,” katanya lagi.

Sehingga kini, Forest City telah memiliki dua buah hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, Sekolah Antarabangsa Shattuck St. Mary Forest City dengan kurikulum Amerika Syarikat serta taman air yang menjadi pilihan rakyat tempatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast