KUALA LUMPUR – Sebanyak 44 kawasan di Petaling, KL dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air pada 10 Oktober mulai jam 9 pagi ini ekoran kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.
Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata, kerja-kerja ini dijangka siap pada jam 7 malam hari yang sama.
Oleh itu, bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 120 tengah hari, 12 Oktober 2023 (Khamis).
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan di sini.
Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Justeru itu, orang ramai yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara. – MalaysiaGazette