Tan Sri Mohd Zuki Ali

SHAH ALAM – Malaysia hari ini berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai sebuah ekonomi yang kuat dan teguh di rantau ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, menerusi kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerajaan menyasarkan ekonomi berada antara ke 30 terbesar dunia.

Menurut beliau, dalam tempoh separuh pertama 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus.

“Manakala prestasi pasaran buruh yang lebih baik dan kadar produktiviti yang lebih tinggi juga telah dicatatkan iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2022.

“Dalam pada itu, kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023.

“Ini merupakan kejayaan agenda kesejahteraan rakyat di peringkat domestik apabila indeks kesejahteraan rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraaan, ekonomi dan sosio rakyat telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali ke-12 Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan surat pelantikan kepada 15 Value Champion Officer (VCO) bagi pemantapan pembudayaan nilai dalam perkhidmatan awam.

Mohd Zuki berkata, semua kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kesungguhan, komitmen dan pengorbanan penjawat awam yang didokong bersama rakan mereka di sektor swasta dalam menggerakkan enjin ekonomi negara.

Jelas beliau, asas kepada agenda Malaysia Madani adalah pembinaan sebuah negara bangsa berteraskan pembudayaan nilai murni para warganya.

“Bagi mencapai tahap ketamadunan ini, kita perlu membuat anjakan pemodenan dalam pemikiran, kebendaan dan juga kerohanian.

“Intipati kepada pemodenan ini adalah individu yang bergabung membangunkan masyarakat, negeri dan negara.

“Dengan lain kata, faktor yang penting membentuk mana-mana tamadun dunia ialah insan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif baharu diperkenalkan iaitu VCO akan menjadi mekanisme penggerak dalam menjayakan amalan nilai.

Katanya, ia dipadankan pula dengan sistem pengurusan yang telah dan sedang dilaksanakan bagi mengukur amalan nilai dalam organisasi.

Mohd Zuki berharap pelaksanaan inisiatif itu termasuk nilai asas individu dan organisasi dapat diperkasakan sesuai dengan tema persidangan, PRISMA iaitu PRofesional, Integriti, Sahsiah dan aMAnah.

Jelas beliau, tema itu mengetengahkan empat dimensi utama yang dapat membina keutuhan jati diri individu.

Huraian kepada empat dimensi itu ialah PRofesional – penjawat awam yang berkemampuan, cekap, berkemahiran dan mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas.

Integriti – penjawat awam bertindak secara jujur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugas, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, berakauntanbiliti, serta tidak menyalahkan kuasa, menyeleweng dan rasuah.

Sahsiah – penjawat awam yang mempunyai personaliti dan keperibadian yang boleh dicontohi sebagai insan terpuji.

aMAnah – penjawat awam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan untuk kepentingan awam, mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Jadi, kita perlu membina jiwa merdeka dengan pemikiran, kelakuan dan minda yang terikat kukuh dengan dengan nilai yang tinggi, di samping mendidik jiwa agar tidak terpesona dengan kilauan material dalam mentadbir negara dan mengurus amanah rakyat yang dipertanggungjawabkan di atas bahu kita.

“Dengan itu, kita perlu mendidik jiwa dan minda kita daripada mula dilantik ke jawatan hingga tamat tempoh perkhidmatan agar kita kekal sejahtera. – MalaysiaGazette