Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berpandangan, penyelesaian dua negara merupakan kaedah yang paling logik untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Menurut beliau, Palestin boleh kekal di bumi asalnya namun negara Israel mesti dipindahkan ke negara lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu mencadangkan, Eropah mungkin paling sesuai kerana mengikut sejarah, negara-negara di benua berkenaan paling banyak menganiayai dan menzalimi orang Yahudi.

“Hendak buat di Amerika Syarikat (AS) pun boleh kerana negaranya luas, lagipun AS penyokong dan pendukung kuat Israel.

“Kenapa hendak rampas bumi Palestin, ia milik umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada 21 September lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan, keamanan tidak akan dicapai selagi rakyat Palestin tidak berikan hak mereka sepenuhnya.

PBB meluluskan usul penyelesaian dua negara pada 1974 yang mana Palestin dan Israel akan wujud sebagai dua negara yang berjiran mengikut sempadan sebelum 1967.

Bagaimanapun, usul itu masih belum dapat dilaksanakan berikutan keengganan rejim Zionis Israel mengiktiraf kewujudan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Rejim Zionis Israel juga berterusan menindas dan menzalimi rakyat Palestin termasuk melakukan sekatan terhadap Gaza dan melakukan serangan udara yang mengorbankan ramai penduduk yang tidak berdosa di wilayah itu.

Situasi di Palestin semakin tegang ketika ini ekoran kebiadaban sekumpulan pendatang Yahudi mencerobohi Masjid al-Aqsa menjelang hari Yom Kippur. – MalaysiaGazette