Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman hadir ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki di Mahkamah Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2022.

AMPANG – Sebutan kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman terpaksa ditangguhkan selepas pendakwah selebriti itu dan peguamnya tidak hadir dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, pihaknya cuba menghubungi peguam tertuduh beberapa kali, namun tidak mendapat jawapan.

Ketidakhadiran pihak-pihak terbabit itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak mahkamah selepas Hakim Norhazani Hamzah memanggil Azman Syah Alias apabila tiba giliran kesnya disebut semula, hari ini.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan agar kes itu ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada 4 Oktober ini.

Sebelum ini, Azman Syah, 43, dihadapkan kali pertama ke mahkamah pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau .

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast