Peserta Larian Denai Sungai Langat 2023 mengutip sampah dan bahan buangan di sepanjang laluan dalam usaha untuk menerapkan semangat cintakan alam sekitar.

BANGI – Seramai 574 peserta mengambil bahagian dalam Larian Denai Sungai Langat 2023 sambil mengutip sampah dan bahan buangan di sepanjang laluan untuk menerapkan semangat cintakan alam
sekitar.

Program anjuran Persatuan Sahabat Sungai Malaysia (FoRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini bersempena Hari Sungai Sedunia.

Ia melibatkan dua kategori iaitu 5 kilometer fun run serta 15 kilometer lelaki dan wanita, terbuka dan veteran.

Setiausaha FoRM, Prof Madya Dr Wan Hanna Melini Wan Mohtar berkata, pemenang ditentukan berdasarkan berat timbangan kutipan sampah bagi kategori 5 kilometer fun run.

Tambahnya, pemenang tempat pertama berjaya mengutip sampah 11.1 kilogram, sementara itu, jumlah sampah yang terkumpul adalah sebanyak 20 kilogram.

“Melalui inisiatif ini, peserta bukan sahaja dapat melakukan aktiviti fizikal tetapi dalam masa yang sama berusaha untuk menjaga persekitaran dengan membersihkan sampah-sarap yang mencemari sungai dan sekitarnya.

“Berlari sambil mengutip sampah diharap dapat memberikan semangat sebenar dalam memastikan manusia dan sungai sama-sama sihat,” katanya.

Beliau berkata, laluan larian direka khas menyelusuri denai tebing Sungai Langat sepanjang 1.5 km sebelum masuk ke dalam landskap kehijauan UKM.

Larian ini membawa peserta bukan sahaja melihat sungai, namun berpeluang juga untuk berlari dalam ladang kelapa sawit, taman botani dan paku pakis dan melihat keindahan hutan semula jadi di UKM,
jelasnya.

“Sungai adalah satu sumber utama air bagi rakyat Malaysia, yang mana lebih daripada 85 peratus air yang dibekalkan kepada penduduk adalah dari sungai. Namun begitu, masyarakat mengambil mudah akan kebersihan sungai dan kerap menjadikannya sebagai satu tempat pembuangan sama ada sampah, sisa merbahaya atau air sisa.

“Justeru, objektif utama larian ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenaikepentingan menjaga sungai dan melihat sendiri keadaan sungai supaya terbit kesedaran untuk menjaga kebersihannya pada masa akan datang,” katanya.

Bagi kategori 15 kilometer, tempat pertama menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga adalah wang bernilai RM750 dan RM500.

Larian ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tuong Sii. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast