GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengajak semua pihak melihat secara positif dan proaktif berhubung kontroversi Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How memetik tafsiran ayat al-Quran baru-baru ini.
Jelas Wan Salim, ia susulan beliau sudah meneliti ucapan Howard dan keterangan yang diberikan mendapati Ahli Parlimen itu hanya memetik ayat 59, surah al-Nisa serta tidak membaca teks asal ayat itu dalam bahasa Arab seperti didakwa pihak tertentu.
“Ahli politik jangan hanya memikirkan keuntungan politik bagi parti yang dianggotai atau disokong semata-mata, tetapi perlu mengutamakan usaha memberi kefahaman yang tepat kepada masyarakat termasuk warga Malaysia bukan Islam tentang maksud sebenar ayat-ayat al-Quran.
“Jika tujuan itu tercapai ia bererti satu perkembangan yang baik dalam hubungan antara sesama warga Malaysia berjaya diwujudkan.
“Ini adalah kerana semakin ramai masyarakat bukan Islam di negara ini yang memahami isi kandungan al-Quran bererti semakin bertambah penghargaan dan penghormatan mereka terhadap kitab suci Islam itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Wan Salim, diharapkan dengan cara sedemikian mampu menghapuskan fenomena Islamofobia dan sangkaan buruk terhadap agama Islam dan umatnya.
Dalam perkembangan sama, Wan Salim turut mencadangkan supaya kerajaan menerusi mana-mana jabatan atau agensi yang sesuai mengadakan sesi khas kepada wakil-wakil rakyat, ahli-ahli politik dan para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.
Kata beliau, penyertaan untuk sesi khas itu hanya digalakkan, tidak diwajibkan, kerana tujuannya bukan untuk mempengaruhi mereka menukar agama kepada Islam, tetapi sekadar untuk memahamkan mereka tentang ajaran-ajaran Islam.
“Semoga dengan menghadiri sesi sedemikian mereka akan mendapat kefahaman yang betul tentang isi kendungan al-Quran.
“Kita percaya dengan kefahaman yang betul tentang isi kandungan al-Quran akan meningkatkan lagi perpaduan dan sikap saling hormat antara sesama warganegara,” katanya.
Media semalam melaporkan, Howard tampil memohon maaf menerusi satu sidang media di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran. – MalaysiaGazette