Nancy dan Kasim merakamkan gambar bersama warga Pusat Dialisis UMS-YKN.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui penubuhan Pusat Dialisis UMS-YKN bagi membantu pesakit buah pinggang kronik (ESRD) bagi mendapatkan rawatan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Pusat Dialisis UMS-YKN menyediakan penjagaan dan rawatan hemodialisis berkualiti tinggi kepada pesakit ESRD.

“Kini, Pusat Dialisis UMS-YKN dilengkapi dengan sembilan kerusi hemodialisis yang boleh memuatkan jumlah maksimum 54 pesakit keseluruhan. Terdapat 14 orang jururawat terlatih dan dua orang pembantu perawatan kesihatan yang bertugas di pusat rawatan tersebut.

“Bukan itu sahaja, perundingan daripada pakar perubatan dan pakar nefrologi profesional dengan pasukan jururawat profesional untuk memastikan penjagaan dan rawatan kejururawatan berkualiti tinggi turut diberikan,” katanya sempena program lawatan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri ke pusat dialisis tersebut.

Menurut Kasim lagi, kemudahan rawatan yang disediakan di Pusat Dialisis UMS-YKN dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang berpendapatan rendah bagi mendapatkan rawatan hemodialisis.

“YKN telah melantik UMS bagi melaksanakan perkhidmatan dalam tempoh lima tahun bermula 16 April 2021 sehingga 15 April 2026 dan akan menghantar sejumlah maksimum 18 pesakit ESRD sepanjang tempoh tersebut.

“YKN akan membuat bayaran rawatan bagi setiap pesakit tajaan mereka sebanyak RM250 bagi setiap kali rawatan dengan bilangan maksimum rawatan sebanyak 13 kali sebulan.

Kasim turut memaklumkan, Pusat Dialisis UMS-YKN telah dibuka untuk orang ramai termasuk pelajar dan kakitangan UMS sejak 14 Jun 2017. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast