Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah keluar dari mahkamah selepas sebutan keputusan representasi beliau dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membatalkan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company di depan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi Jenayah, Jalan Duta. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 20 November untuk plaintif menyerahkan dokumen kepada defendan iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Peguam Mohd Irwan, Lavinia Kumaraendran berkata, anak guamnya berhak meneliti dokumen berkenaan sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohd Irwan dan Aruluntuk untuk membatalkan saman yang difailkan 1MDB terhadap mereka.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB turut mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran berkenaan dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – MalaysiaGazette