William Ng

KUALA LUMPUR – Tindakan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi DuitNow QR dianggap mengkhianati usaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengalakkan orang ramai berbelanja secara digital tanpa menggunakan wang tunai.

Menurut Presiden Small & Medium Enterprises Association (Sementa), Datuk William Ng, pihaknya terkejut tindakan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang mengendalikan DuiNow untuk mahu mengenakan caj terhadap peniaga.

“Kita mesti sedar bahawa PayNet pada asasnya adalah monopoli dan peniaga tidak mempunyai pilihan selain menggunakan Duitnow selepas melaburkan sejumlah besar masa dan sumber untuk menggalakkan pelanggan membayar melalui satu QR.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami secara aktif menggalakkan PKS terutamanya dalam sektor peruncitan dan makanan dan minuman untuk mendigitalkan dengan pantas dan menjadi teras daripada itu – untuk menerima e-dompet. Oleh itu, ini terasa seperti pengkhianatan di pihak Duitnow,” katanya dalam kenyataan.

Sementa menggesa PayNet dan pihak bank mempertimbangkan untuk mengenakan kadar yang lebih rendah daripada 0.25 dan 0.5 peratus yang dicadangkan.

Willam berkata, transaksi tanpa tunai telah memberi manfaat kepada semua orang termasuk negara dan bank.

Ini kerana ia mengurangkan risiko dan kos yang berkaitan dengan pengurusan tunai, manakala bank terus mendapat manfaat daripada ekosistem runcit dan komisen daripada kaedah pembayaran lain.

“Jika tidak, kita boleh meramalkan peniaga hanya menerima e-dompet atau Duitnow melebihi had tertentu atau lebih teruk kembali kepada hanya menerima wang tunai – membalikkan semua manfaat yang telah kita perolehi dalam mendorong industri menjadi tanpa tunai,” jelas beliau.

PayNet hari ini mengesahkan pihaknya akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.

PayNet dalam satu kenyataan memberitahu, sewaktu aplikasi DuitNow QR diperkenalkan pada tahun 2019, pengendali tidak mengenakan sebarang caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR). – MalaysiaGazette