KUALA LUMPUR – Siapa sangka mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Mei lalu sangat membantu suri rumah kelainan upaya (OKU) Normala Diana Mohd. Yazak, 36 menambahkan pendapatan.
Mesin layan diri yang menjual pelbagai makanan seperti nasi lemak, nasi goreng, mi goreng dan sandwich yang diletakkan di KL Sentral menyumbang tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan kepada beliau sekeluarga sejak Mei lalu.
Lebih menarik, Normala Diana turut memperoleh pendapatan tambahan hampir RM1,000 sebulan apabila syarikat, pekerja dan pengunjung di sekitar KL Sentral menghubunginya untuk membuat tempahan selepas merasai makanan yang dijual dalam mesin layan diri tersebut.
Menurut Normala Diana, dia terlibat dalam bidang perniagaan secara bidan terjun selepas suaminya yang juga OKU penglihatan dibuang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan susulan pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
“Waktu itu hidup memang sukar kerana kami berdua tidak bekerja dan terputus pendapatan untuk berbelanja. Kemudian saya buat keputusan menjual makanan secara dalam talian. Alhamdullilah sambutan menggalakkan dan rezeki kami sekeluarga tidak terputus lagi.
“Bila ada Inisiatif Usahawan Makanan yang menawarkan mesin layan diri secara percuma selama dua tahun saya terus memohon. Pada mula memang risau kalau makanan yang dijual tidak mendapat sambutan.
“Nampaknya kebimbangan saya tak berasas sebaliknya ramai yang hubungi nombor telefon saya yang dilekat pada mesin layan diri untuk membuat tempahan,” katanya sambil tersenyum apabila melihat aplikasi Vending Machine di telefon pintarnya memaparkan jualanya habis terjual walaupun ketika itu baru pukul 11 pagi.
Normala Diana yang mempunyai dua orang anak dan tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi berkata, dia bangun seawal dua pagi untuk menyiapkan makanan dan pergi ke KL Sentral seawal pukul 5 pagi untuk memenuhkan mesin layan diri tersebut.
Dia kemudian pulang ke rumah dan memantau jualan melalui aplikasi yang disediakan dan sekiranya habis dibeli, dia dan suami akan membuat pengisian semula pada pukul 7 malam.
Wanita gigih itu berkata, pelaksanaan IPR memberi kelegaan yang besar kepada beliau sekeluarga serta golongan berpendapatan rendah lain dalam usaha keluar daripada kemiskinan terutama hidup di bandar yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
IPR merupakan strategi serampang dua mata yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah. Sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 106,492 permohonan untuk menyertai program IPR telah diterima.
Selain Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), IPR turut menawarkan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
IPR antara inisatif dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang menyasarkan pembasmian kemiskinan tegar ke paras sifar dan mengurangkan kadar pengangguran sehingga 3.3 peratus
Sasaran tersebut ditetapkan dalam fokus utama Membangunkan Masyarakat Sejahtera melalui lima Anjakan Besar iaitu Pembudayaan masyarakat MADANI, Reformasi perlindungan sosial, Perumahan untuk rakyat, Pengukuhan perkhidmatan kesihatan dan Pengukuhan keselamatan dan pertahanan negara.
Sebanyak RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu mengeluarkan kumpulan sasar daripada kemiskinan tegar.
Kerajaan juga melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi rakyat seperti Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB), Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar, Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli, Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah.
Badan bukan Kerajaan (NGO) Kelab Generasi Tranformasi Ruminan (GTR) yang terlibat dalam menjayakan PEKB berkata, program tersebut ternyata memberi peluang kepada penduduk bandar yang terperangkap dalam kemiskinan.
Menurut Timbalan Presiden GTR Nordin Mat, pihaknya telah diberi tanggungjawab melatih 30 individu dari keluarga miskin bandar di Kelantan yang tersenarai dalam e-Kasih untuk memulakan perniagaan burger.
Mereka yang terpilih diberikan latihan, gerai, peralatan dan bahan mentah bernilai lebih RM10,000 secara percuma.
Katanya, peserta yang terpilih dalam program yang bermula Julai lalu benar-benar menggunakan peluang yang disediakan dan berjaya memperoleh pendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan.
“Kita ada pasukan yang memantau setiap peserta pada setiap hari selama tiga bulan. Majoriti peserta adalah ibu tunggal dan telah berkeluarga. Kita perhatikan mereka yang benar-benar berusaha dan mahukan kejayaan adalah daripada mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak untuk dibesarkan.
“Program anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ini sangat bagus dan tawaran yang dibuat bukan mudah untuk diperolehi kerana semua diberi secara percuma. Malah tak ada bayaran balik, tak ada cagaran. Mana nak dapat?” kata Nordin.
Tambah beliau, perniagaan burger boleh menghasilkan pendapatan hingga RM10,000 sebulan malah terdapat usahawan GTR Burger di Limbang, Sarawak mencatat rekod jualan lebih RM44,000 sebulan.
Selain GTR terdapat 30 lagi NGO yang terlibat dalam program PEKB dengan masing-masing melatih 30 individu miskin bandar di seluruh negara dalam pelbagai bidang perniagaan.
KSP RMK12 di bawah fokus Membangunkan Masyarakat Sejahtera turut melaksanakan inisiatif perkhidmatan kesihatan percuma melalui Skim Perubatan Madani.
Skim tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut telah diberikan melalui klinik swasta dan 80,000 isi rumah mendapat manfaat.
Lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program berkenaan sebagai panel untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Di bawah fokus utama itu, projek Perumahan Inklusif Madani juga akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar besar di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Projek perintis akan melibatkan pembinaan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.
Selain itu kerajaan juga menyasarkan pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik sehiggga 2025 dengan 108,373 unit telah dibina sehingga akhir 2022.-MalaysiaGazette