Anggota trafik JSPT KL mengeluarkan saman terhadap kenderaan dalam Op Hormat Pematuhan Undang-undang Jalan raya di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 6,654 saman ke atas pengguna atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Fasa 2, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, halangan lalu lintas adalah kesalahan paling banyak direkodkan dan sebanyak 5,052 saman telah dikeluarkan untuk kesalahan itu.

“Mengikut pencahan jumlah saman mengikut kesalahan, JSPT KL telah mengeluarkan sebanyak 233 saman atas kesalahan memberhentikan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih.

“Sebanyak 105 saman dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang tidak mempunyai lesen memandu, sementara sebanyak 23 saman dikeluarkan atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

“Selain itu, anggota trafik turut mengeluarkan sebanyak 39 saman atas kesalahan mengubahsuai nombor pendaftaran kenderaan atau fancy number manakala empat saman dikenakan atas kesalahan berhenti di petak kuning,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 1,198 saman atas pelbagai kesalahan lain yang dilakukan oleh pemandu kenderaan.

Menurut Sarifudin, operasi berkenaan dilaksanakan 42 pegawai dan 748 anggota trafik di beberapa lokasi di ibu negara iaitu pada waktu puncak.

“Operasi berkenaan turut dilaksanakan secara bersepadu dengan disertai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan yang juga mengeluarkan sebanyak 225 saman terhadap pengguna kenderaan atas pelbagai kesalah di atas jalan raya,” ujarnya.

Operasi Hormat Pematuhan Undang-undang Jalan Raya Fasa 2 itu dilaksanakan di 16 lokasi di sekitar pusat bandar raya berkenaan bermula 15 September lalu dan akan berakhir esok. – MalaysiaGazette