IPOH – Seorang pelancong warganegara India dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lepas.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan Nandan Suresh Nadkarni, 44, telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.

“Pada 25 September, polis telah menerima satu laporan polis yang dibuat pengurus hotel memaklumkan kehilangan lelaki terbabit sejak 22 September.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) hotel mendapati mangsa telah keluar dari hotel pada 9 pagi, 22 September dan dan tidak pulang ke hotel sehingga tarikh 24 September.

“Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman CCTV yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata,” katanya.

Beliau berkata, sebagai tindakan susulan, pihak polis telah menubuhkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Perrtahanan Awam Malaysia (APM) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Azri menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi bilik gerakan (DCC) menerusi talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih, katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, SAR yang ditangguhkan semalam disambung semula 8 pagi tadi meilbatkan pelbagai agensi termasuk malim gunung dan anjing pengesan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima pada 3 petang semalam daripada roaming maxis mengatakan isyarat terakhir dikesan melalui pencawang Habu Height pada pukul 1.04 tengah hari, 22 September.

“Anggota SAR juga membuat pemantauan dron di kawasan air terjun di sekitar kawasan Sungai Ubi,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast