Anugerah Perdana Maulidur Rasul, Prof Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habsi bergambar bersama isterinya Sharifah Fatimah Aljunid selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1445H / 2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Penasihat syariah dan ekonomi, Profesor Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al Habshi menerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023.

Anak kelahiran Peringgit, Melaka berusia 80 tahun itu merupakan dekan pertama Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malayisia (UIAM) dan pernah menjawat Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif di UNITAR.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Syed Othman menerima anugerah tersebut yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada sidang media selepas majlis berkenaan, Syed Othman berkata, umat Islam di negara ini seharusnya beralih sepenuhnya kepada sistem kewangan dan ekonomi Islam termasuk dalam soal memilih perbankan dan takaful Islam.

Ujarnya, Malaysia mempunyai banyak rangkaian institusi perbankan dan kewangan Islam malah, ia turut dikenali dan termasyur di dunia.

Justeru tambah beliau, sudah tiba masanya umat Islam beralih kepada kewangan Islam dan sistem takaful Islam.

“Kita harus fikir bagaimana untuk memasyarakatkan kewangan Islam kepada umat Islam di negara ini.

“Apabila kita tidak dapat melakukannya, kita tidak dapat melaksanakan seluruhnya sistem berasaskan Islam di negara ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai penganugerahan itu, Syed Othman berkata, beliau sendiri tidak terfikir untuk menerima anugerah itu dan menyifatkan ia satu amanah besar.

“Anugerah ini adalah pembakar semangat kepada saya untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habsi

Turut menerima anugerah pada majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.

Penerima lain adalah Pengasas dan Presiden Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, aktivis kebajikan haiwan, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor dan pesara guru yang juga Ikon Pejuang Bahasa Melayu 2015, Shaariah Dahman.

Seorang lagi penerima ialah orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang juga Ketua Operasi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Zamzuri Ghani.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’. – MalaysiaGazette