Kompleks Mahkamah Georgetown

GEORGE TOWN – Sembilan individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia pada 7 Sept lepas.

Dua tertuduh warga Indonesia, Agong Laksono dan Yusuff Bahtiar manakala tujuh yang lain merupakan warga tempatan iaitu Mohamad Noor Shahrizuan Hashin, Tan Gim Chun, C. Youganathan, Elaine Gooi Swee May, Lok Wai Lun, Haffizan Samsudin dan Noorazlin Mat Kasa.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 29 dan 41 tahun mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menculik mangsa yang berusia 36 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM540,000 di sebuah unit Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini, kira-kira 7 pagi, pada 7 Sept lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Darrshini S Murgan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chiang Kian Hong.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mahkamah kemudian menetapkan 11 Dis depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita melalui detik menakutkan apabila diculik, dikurung dan diseksa selama 10 hari di sebuah rumah selepas suaminya didakwa tidak membayar hutang.

Seorang lelaki warga Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor, mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, diculik sekumpulan individu tidak dikenali. – BERNAMA