Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan telah menetapkan dua hari mulai 28 Februari tahun depan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM232.5 juta.

Salah guna kuasa itu dikaitkan projek Jana Wibawa ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri.

Difahamkan, pasukan pendakwaan telah memberikan 13 alasan mengapa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin terkhilaf apabila bertindak memutuskan untuk membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam petisyen rayuan, pendakwaan mendakwa hakim telah salah guna kuasa dengan membatalkan pertuduhan sebelum tamat tempoh kerana perbicaraan masih belum bermula lagi,” katanya petisyen berkenaan.

Selain itu, antara alasan lain yang telah difahamkan kepada media termasuklah hakim tidak beri peluang kepada pendakwaan untuk pinda pertuduhan selain kekhilafan hakim berkata pendakwaan telah berikan pertuduhan mengelirukan.

“Sepatutnya itu boleh dinilai dan ditentukan selepas akhir bicara selepas menilai kesemua bahan bukti dikemukakan ketika bicara,” ujarnya.

Muhammad Jamil pada 15 Ogos lepas telah membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan selepas beliau memutuskan pertuduhan itu kabur dan tidak berasas.

Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan suapan daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, dan juga daripada Datuk Azman Yusoff untuk parti itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin juga menghadapi dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.

Beliau juga didakwa atas satu pertuduhan menerima dana RM5 juta, daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang merupakan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di cawangan Ambank Amcorp Mall di Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, Selangor pada 7 Jan tahun lepas. – MalaysiaGazette