KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus memberi bayangan awal bahawa Harimau Selatan akan muncul sebagai pasukan yang lebih kuat musim depan.
“Saya fikir tahun depan kami akan lebih kuat dari tahun ini,” tulis di laman Instagram miliknya yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Menerusi laman sama di ruangan Instastory, TMJ turut memuat naik senarai pemenang trofi Liga Super sejak saingan itu diperkenalkan pada 2004.
“Statistik tidak menipu, selamat datang ke zaman profesional,” katanya.
Musim ini menjadi musim paling cemerlang buat JDT selepas kejayaan mereka mencipta beberapa rekod baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas berjaya menyelesaikan misi mempertahankan trofi Liga Super selama sedekad, Harimau Selatan kini boleh menyamai rekod Kedah yang menjulang kejuaraan ‘trebel’ dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008 sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia.
Musim ini, skuad kendalian Esteban Solari mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menewaskan PDRM 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan terus melebarkan rekod pasukan yang memenangi gelaran Liga Super paling banyak selain mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan selama sedekad sejak 2014.
Bukan itu sahaja, JDT juga mencipta rekod lain musim ini apabila muncul pasukan paling banyak meledak gol Liga Super dalam semusim dengan mengumpul 86 gol dan meledak 122 jaringan bagi semua pertandingan.
Kejayaan menewaskan PDRM turut membolehkan skuad itu muncul pasukan paling lama tidak tewas dalam aksi liga iaitu sepanjang 56 perlawanan. – MalaysiaGazette
Perkara ini akan dibincangkan sama ada untuk minggu itu sahaja, rakyat Johor perlu bekerja dan bersekolah enam hari atau dikecualikan sehari. Kita akan kaji cara terbaik minimumkan gangguan kepada pelajar, pekerja dan sebagainya.