Mohd Nor Izzat Mohd Johari

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (PKASM) bersama gabungan pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGOs) akan mengumpul sejuta tandatangan rakyat Malaysia yang resah dengan kebanjiran warga asing.

Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, petisyen itu akan dilancarkan dalam jangka masa terdekat sebagai isyarat kepada kerajaan betapa rakyat dalam keadaan tidak selesa dengan permasalahan warga asing yang semakin besar kepala.

Menurut beliau, sebaik terkumpul sejuta tandatangan, petisyen itu akan disertakan bersama memorandum untuk diserahkan kepada kerajaan dan Istana Negara.

“Rentetan daripada apa yang NGO World Friendship Community (WFC) bincang, saya nak menyeru semua rakyat Malaysia dan sebahagian daripadanya berada di media sosial untuk bersama kita.

“Kita panggil satu instrument untuk kita menyatakan rasa tidak puas hati kepada sesuatu perkara yang negatif berlaku dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

“Kita harapkan nanti konvensyen ini akan meluluskan petisyen untuk kita mengumpul sejuta tandatangan rakyat Malaysia yang resah dengan kebanjiran warga asing,” katanya pada sidang media pertemuan NGOs di sebuah hotel, di sini, petang ini.

Menurut Nor Izzat, rakyat menolak tiga kategori warga asing iaitu yang tidak terurus, pendatang asing tanpa izin dan pelarian Rohingya yang kerajaan Malaysia sendiri tidak mengiktirafnya.

Beliau berharap, petisyen sejuta tandatangan itu dapat dikumpul segera untuk dihantar kepada kerajaan Malaysia dan Istana Negara.

Sebelum ini, kata Nor Izzat, NGOnya sudah berusaha seperti menghantar dua surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), yang dianggapnya telah melanggar tatakelola apabila kementerian tidak memberi respon lebih 15 hari bekerja, manakala surat kedua lebih satu bulan.

“Saya rasa mungkin KDN tidak berminat untuk menyantuni masalah rakyat yang mana baru-baru ini telah berlaku kepincangan di kalangan warga asing apabila harga barang naik, mereka berlumba-lumba mendapatkan barang subsidi.

“Sedangkan, kerajaan Malaysia tanggung subsidi itu untuk rakyatnya, tetapi telah dibolot oleh warga asing

“Begitu juga saya hantar surat mengenai isu warga China yang masuk ke Malaysia, tetapi tidak keluar dari 2019 hingga 2021. Ia senyap begitu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette