Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Azam Baki bercakap kepada media selepas Program Menembak SPRM bersama Media 2023 sempena Ulang Tahun SPRM Ke-56 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

KAJANG- Polis Antarabangsa (Interpol) memerlukan beberapa dokumen daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan notis merah terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang dikehendaki dalam kes rasuah.

Antara dokumen itu ialah draf pertuduhan ke atas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada SPRM.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, berikutan ketiadaan dokumen tersebut pihaknya tidak boleh membuat permohonan notis merah secara terus kepada Interpol.

“Melalui polis, kita akan kemukakan apakah kehendak Interpol dan Interpol juga meminta beberapa lagi dokumen tertentu untuk dipenuhi kehendak mereka,” katanya ketika ditemui selepas Program Menembak SPRM bersama Media di Maktab Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM tunggu maklumat SPRM untuk mohon notis merah ke atas menantu Muhyiddin

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih menunggu maklumat teknikal daripada SPRM untuk membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan.

Berikutan itu, menurut Azam, SPRM akan menyediakan dokumen seperti mana yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia akan diserahkan pada pihak berkuasa itu pada Isnin ini. -MalaysiaGazette