Seramai 10 individu yang ditahan semalam bagi membantu siasatan insiden rusuhan dalam urusan menunda kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi telah direman oleh polis hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu yang ditahan semalam bagi membantu siasatan insiden rusuhan dalam urusan menunda kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi telah direman oleh polis hari ini.

Ketua Polis Daerah  Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibupejabat polis Daerah (IPD) Brickfields untuk proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada pagi tadi.

“Kesemua suspek dibenarkan reman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok (Rabu) untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa lalu, Zam Halim berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai satu kes rusuhan menggunakan senjata melibatkan beberapa orang suspek warganegara di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada satu kes kemalangan motokar dan pergaduhan dua pihak untuk menunda kereta tersebut.

Bertindak atas maklumat, pada lebih kurang 11.15 pagi, sepasukan polis IPD Cheras telah membuat tangkapan ke atas lapan lelaki berumur dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan. – MalaysiaGazette