Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Aman Shah Hashim melihat sebahagian motosikal yang di sita pada sidang media khas rangkuman Pelaksanaan Ops Khas Motosikal sepanjang September 2023 'Penyitaan Kenderaan pemandu warga asing' di Depoh Sita JPJ Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 507 motosikal yang ditunggang penunggang warga asing sepanjang Operasi Khas Motosikal 2023 di Kedah dari 1 hingga 30 September lepas.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, jumlah itu ialah 72.43 peratus daripada keseluruhan 700 motosikal yang disita sepanjang tempoh operasi berkenaan dijalankan.

“Kalau kita lihat, jumlah peratusan itu sangat tinggi dan mereka ini (penunggang warga asing) tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Jadi, kita perlu mengatasi masalah ini dari awal bagi mengelakkannya  menjadi lebih serius pada masa hadapan.

“JPJ Kedah memandang serius dan tidak berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya terutamanya penunggang warga asing yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah akan dikenakan kepada pemilik motosikal yang membenarkan warga asing meminjam dan membawa kenderaan tanpa lesen sah.

Menurut Aman Shah, bagi tempoh sama, JPJ Kedah telah memeriksa 47,106 motosikal dan 3,549 daripadanya telah diambil tindakan serta sebanyak 10,526 Notis Saman P (22) telah dikeluarkan.

“Kesalahan utama dikesan melibatkan 3,352 kes tiada lesen memandu yang sah; 2,981 kes lain kesalahan teknikal; 2,113 kes lesen kenderaan motor telah tamat tempoh dan 2,080 kes tiada perlindungan insurans.

“Operasi Bersepadu JPJ Kedah sentiasa diteruskan dengan matlamat utama operasi adalah untuk mendidik pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan berhemah semasa memandu. JPJ menyeru orang awam untuk melaporkan aduan secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ,” katanya. – Bernama