Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bercakap kepada media selepas beramah mesra bersama pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di Felda Kemasul, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2023.

BENTONG- Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob membidas dakwaan tiada pembangunan dilakukan sepanjang beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

Katanya, banyak kemajuan yang telah dikecapi di Pelangai tidak seperti yang didakwa pembangkang bahawa banyak kemudahan tiada di kawasan DUN itu seperti mesin pengeluaran wang dan stesen minyak.

“Sekurang-kurangnya dari dulu sampai sekarang sudah banyak kemajuannya.

“Tak kan lah menteri besar, Perdana menteri nak buat Bank Negara di Pelangai, menara berkembar Petronas bawa ke Pelangai, KLIA bawa ke Pelangai,” katanya ketika berkempen untuk calon Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam di Felda Kemasul, di sini,  hari ini.

Adnan yang merupakan Menteri Besar Pahang pada 1999 hingga 2018 adalah ADUN Pelangai selama lapan penggal.

Menurut Adnan, apa yang dilakukannya ialajh mewujudkan keadaan aman dengan penduduknya menjalani kehidupan dengan mudah.

Tambah beliau, sekiranya masalah timbul, kerajaan negeri ada pihak kerajaan akan menyelesaikannya. – MalaysiaGazette