Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tindakan kerajaan memperkenalkan kad pengenalan (ID) khas kepada mereka yang layak membeli minyak masak bersubsidi.

Ketua Biro Ekonomi & Perdagangan Antarabangsa parti itu, Datuk Tan Chin Hock berkata, cadangan tersebut hanya akan menyebabkan banyak masalah timbul terutama meningkatkan ketirisan data.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, ia boleh mewujudkan pasaran gelap.

“Perkara ini sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan data dan berisiko mewujudkan pasaran gelap.

“Biarpun dikatakan mekanisme itu realistik, tetapi adakah kerajaan boleh memastikan sistem itu tidak disalahgunakan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kebocoran data sensitif tidak hanya tertumpu kepada penggodaman sahaja sebaliknya, ia boleh melibatkan organisasi atau individu yang tidak bertanggungjawab meraih keuntungan.

Ujarnya, ia terbukti apabila Malaysia menduduki tempat pertama dalam kebocoran nombor telefon bimbit berdasarkan ‘Gogolook 2022 Annual Fraud Report’ yang meneliti kebocoran maklumat sulit dalam rantaian industri sindiket penipuan atas talian.

Sehubungan itu, Tan menggesa supaya kerajaan meneliti keperluan kedai-kedai yang berada di kampung yang majoriti tidak menggunakan sistem ‘point of sales’.

“Kerajaan harus fikir kaedah yang sesuai untuk menanganinya supaya cadangan ini tidak hanya diguna pakai di kedai-kedai atau pasar raya yang besar” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan nekad melaksanakannya ia perlu dilakukan dalam keadaan sistem yang digunakan selamat untuk rakyat.

Pada Isnin lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan memperkenalkan sistem ID bagi mereka yang layak membeli minyak masak paket bersubsidi.

Katanya, ia bagi memastikan subsidi itu sampai kepada golongan sasaran dan tidak berlaku penjualan kepada golongan yang tidak layak termasuk warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast