Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kanan) mengangkat tangan bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan), Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kiri) dan calon Perikatan Nasional (PN) N36 Pelangai, Kasim Samat (dua kiri) selepas Ceramah Perdana Perikatan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 Pelangai di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 03 OKTOBER 2023.

BENTONG – Calon Perikatan Nasional (PN) sudah menemui semua bakal pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan kini memasuki kempen pusingan kedua.

Calon nombor 1 dalam kertas undi itu, Kasim Samat berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa daripada penduduk di sekitar Felda dan kampung-kampung tradisional.

Beliau turut menyantuni penduduk kampung Orang Asli, penduduk Cina dan India di DUN Pelangai di mana sambutan yang positif membuatkannya akan terus ‘berjuang’ sehingga saat akhir.

”Pusingan pertama sudah habis. Sekarang masuk pusingan kedua bertemu pengundi Pelangai. Kempen berjalan lancar dan sambutan pengundi sangat positif dan luar biasa berbanding semasa saya bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

”Rakyat sudah terbuka, mereka sudah pandai, ketika berkempen tidak perlu ulas banyak-banyak, mereka boleh tengok media sosial. Isu harga barang dan hubungan dengan kerajaan DAP,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kemahal semalam.

Kasim mengakui sesi walkabout dan ziarah rumah ke rumah lebih berkesan untuk memancing undi rakyat.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Cikgu Kasim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Pada 7 Oktober nanti, seramai 16,456 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast