SYDNEY Beberapa jam selepas diancam kebakaran, beberapa bandar di Australia sedang bersiap sedia untuk menghadapi banjir.
Kebakaran belukar kian marak di wilayah Gippsland, Victoria dan Pantai Selatan New South Wales minggu ini.
Kedua-dua kawasan itu pernah dilanda kebakaran belukar Black Summer Australia empat tahun lalu.
Walaupun kebakaran dijangka reda kerana hujan tetapi ia mencetuskan pula amaran banjir.
Negara ini telah bergelut dari satu bencana kepada bencana yang lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat kesan perubahan iklim.
Berpuluh-puluh kebakaran telah melanda di seluruh Australia ketika ia memasuki musim kebakaran yang paling berbahaya dalam beberapa tahun ini.
Di Gippsland – wilayah luar bandar di tenggara Victoria – ratusan anggota bomba telah menghabiskan beberapa hari memerangi dua kebakaran serius yang telah mencetuskan pemindahan dan memusnahkan sekurang-kurangnya satu rumah.
Sementara itu, pihak berkuasa New South Wales (NSW) juga mengesahkan beberapa rumah musnah terbakar di Lembah Bega pada hari Selasa.
Di kedua-dua negeri, kebakaran telah memusnahkan kira-kira 25,000 hektar tanah – kawasan kira-kira lima kali ganda saiz Pulau Manhattan.
Tetapi kawasan sejuk yang membawa hujan lebat ke tenggara Australia pada hari Rabu, mencetuskan amaran daripada pihak berkuasa untuk bersiap sedia menghadapi potensi banjir kilat.
Pekan-pekan di wilayah Gippsland yang diancam kebakaran kini berisiko dinaiki air. – Agensi