32 wanita warga Vietnam termasuk enam warga China dan dua wanita asing 'mummy' dalam serbuan ATIPSOM di Taman Shamelin Perkasa Cheras malam Rabu. Ihsan ATIPSOM Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 32 orang wanita asing yang disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis di Taman Shamelin Perkasa, Cheras dekat sini ditahan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas kira-kira jam 9 malam tadi itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berusia dalam  lingkungan 18 hingga 40-an terdiri daripada enam warga China manakala 26 wanita lagi  warga Vietnam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Turut ditahan dalam serbuan itu adalah dua wanita China dan Vietnam, masing-masing berusia 51 serta 36 tahun yang disyaki memainkan peranan utama sebagai ‘mummy’ membekal GRO asing selain penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis.

“Dalam operasi sama kita juga mengesan salah seorang wanita asing GRO itu cuba menyorok di tempat kompresor penyaman udara namun berjaya ditangkap.

“Siasatan lanjut mendapati premis yang digempur adalah sebuah rumah kedai yang telah diubah suai menjadi pusat hiburan dan telah mula aktif sejak Mei lalu.

“Premis yang beroperasi di tingkat satu itu dilengkapi dengan pub dan tiga bilik karaoke,” katanya lagi.

Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast