Dua penagih lari sekatan polis terbbas bersama kereta dalam parit sebelum diberkas bersama dadah dalam kejadian hari ini.- Gambar ihsan IPD Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR – Cubaan dua lelaki yang disyaki penagih dadah untuk melarikan diri daripada sekatan polis gagal apabila kereta mereka hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di Tanjong Karang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian itu berlaku di Parit 1 Ban ARBI 15, Tanjong Karang, Kuala Selangor sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Semasa kejadian, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 dan 37 tahun telah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva telah bertindak melarikan diri bagi mengelak diberkas polis semasa polis melaksanakan sekatan jalan raya di Kilometer 71, Jalan Klang-Teluk Intan.

“Semasa kereta suspek ditahan polis untuk pemeriksaan, suspek tiba-tiba menekan pedal minyak dan memecut laju sebelum anggota peronda polis bertindak mengejarnya.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka terperosok masuk ke dalam sebuah parit di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Ramli, kedua-dua suspek berkenaan telah melarikan diri ke dalam ladang sawit berhampiran sebelum berjaya dijejaki dan ditangkap polis.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan mendapati kereta itu telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek lelaki pertama berusia 31 tahun itu membawa kepada rampasan sebuah beg sandang yang dipakainya sebelum berjaya menemui satu peket lutsinar disyaki dadah jenis methaphetamine anggaran berat 1.53 gram.

“Manakala pemeriksaan ke atas suspek kedua berumur 37 tahun pula mendapati beg sandang dipakai mengandungi satu tiub straw disyaki dadah dengan berat anggaran 0.55 gram,” katanya.

Kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Hasil semakan terhadap individu pertama mendapati suspek memiliki 14 rekod kesalahan jenayah lampau dan sembilan kes berkaitan dadah.

Menurut Ramli, individu kedua pula memiliki empat rekod kesalahan lampau jenayah dan 12 rekod kesalahan dadah sementara hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya turut mendapati positif dadah.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette