Seorang pekebun diiringi polis untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan meetak abang kandungnya dengan parang hingga cedera parah.

JOHOR BAHRU – Seorang pekebun didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas pertuduhan menetak abang kandungnya dengan parang hingga cedera parah.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kayu Ara Pasong, Pontian kira-kira jam 4 petang pada 29 September lalu.

Mengikut pertuduhan Azmi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Sazali, 55, dengan menggunakan sebilah parang panjang yang boleh membawa kematian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau dengan sebat dan jika sabit kesalahan serta boleh dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik, Mohd Hakim Mohd Don dan Danial Firdaus Derin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu dia juga dikehendaki melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang menggangu mangsa dan saksi kes berkenaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 6 November.

Difahamkan kejadian itu menyebabkan tangan kiri mangsa terpaksa dipotong paras bawah siku, selain cedera parah pada tangan kanan dan kepala mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast