Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

BENTONG – Tiada sebarang masalah jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin menyiasat Barisan Nasional (BN) Pahang berhubung dakwaan parti itu menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN sedia disiasat kerana memahami tugasan itu sebahagian tanggungjawab oleh pihak SPR untuk mengambil tindakan berkaitan pilihan raya.

Tambahnya, BN sudah lali berhubung isu  dilemparkan oleh Perikatan Nasional (PN) itu kerana sering menghadapi permainan politik berunsur fitnah menjelang musim kali musim pilihan raya.

“Setiap kali pilihan raya, itu sahajalah modal kempen mereka, fitnah sahaja, cipta perkara yang tak benar. Macam semalam pembangkang kata ada empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN nak masuk PN, ada ke? Tak ada pun malah semua ADUN  maklumkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya.

“Jadi, isu guna jentera kerajaan negeri ini, saya tahu ini cuma fitnah jadi saya serah pada SPR, tak ada masalah untuk siasat (BN Pahang) dan itu memang kerja mereka,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 4 Tahun 2023 di Dataran Simpang Pelangai semalam.

Terdahulu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu SPR menyiasat jentera BN kerana didakwa menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri selain memberi insentif kepada rakyat sepanjang kempen PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette