Soffian Santong.

GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kejadian sepasang kekasih dipukul di kawasan Bandar Baru Air Itam, di sini, pada 1 Oktober lepas yang insiden tersebut tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, berdasarkan siasatan, kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira 6 pagi Ahad lepas, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan pertengkaran mulut.

“Ekoran kejadian itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an pada hari sama dengan seorang daripadanya mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan kedua-duanya direman untuk siasatan lanjut.

“Polis telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan pisau pemotong kertas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman video berhubung kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Video berdurasi 14 saat berhubung kejadian sepasang kekasih dipukul oleh seorang lelaki tular dalam media sosial dan dikecam warganet. – Bernama