Presiden Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik (PAYAAM), Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim bercakap kepada media selepas membuat laporan kepada Jawi terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo kerana kenyataannya yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat di mana perbuatan itu adalah satu kesalahan Qazaf di Jabatan Agama Islam wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa agama digesa supaya menyiasat rakaman enam individu yang telah menggunakan akaun media sosial TikTok untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat.

Presiden Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM), Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, beliau telah meneliti rakaman itu dan percaya tuduhan yang dilemparkan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ sebagai satu tuduhan melampau.

Katanya, mereka lebih mengenali Anwar kerana pernah mendidik dan memimpin mereka ketika menjadi pengetua dan guru di yayasan berkenaan.

“Sejak zaman remaja lagi kami dah mengenalinya dan kami percaya bahawa mantan pengetua kami itu seorang guru, murabbi yang kini seorang Perdana Menteri berada di pihak yang benar.

“Kami tidak rela membiarkan mantan pengetua kami dihina dan dituduh sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuat laporan qazaf terhadap Papagomo dan lima rakannya di pejabat penguatkuasaan JAWI, di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular satu rakaman yang menunjukkan Wan Muhammad Azri bersama bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya dan empat lagi individu memuat naik rakaman menuduh Anwar sebagai peliwat

Perkara itu merupakan perbuatan berulang dengan perkara sama pernah dilakukan oleh Wan Muhammad Azri pada 2014 yang kemudiannya berakhir beliau kalah di mahkamah.

Beliau telah diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada Anwar temasuk membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.

Dalam pada itu, Suhaimi menegaskan, Wan Muhammad Azri tidak mengemukakan empat orang saksi bagi membuktikan tuduhannya itu.

Tegasnya, apa yang dilakukan jelas membuktikan ia sebagai satu perbuatan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

“Kami berharap agar tindakan dapat diambil terhadap Papagomo ini yang jelas telah mencemarkan nama baik Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin negara yang perlu dihormati dan disanjung oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Pada 21 Mac tahun 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog ‘Papagomo’ pada 16, 17, 19 dan 20 Mac tahun berkenaan. – MalaysiaGazette